Duti Setem 2026: Lepas Ni Kena Kira Sendiri
Mulai 2026, sistem LHDN berubah! Tiada lagi 'safety net', pengasas wajib taksir duti setem sendiri di MyTax. Ketahui risiko denda & cara elak silap kira di sini.
Dah tahu nak taksir sendiri duti setem syarikat, atau sanggup bayar denda kepada LHDN sebab tersalah lapor?
Bermula semalam (1 Januari 2026), Malaysia secara rasminya melaksanakan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) melalui portal MyTax. Dulu anda kena tunggu LHDN kirakan. Tapi sekarang, anda sendiri kena kira dan bayar kepada LHDN. Salah taksir, boleh kena penalti!
Dalam kupasan hari ini, Kelly Alison Yeap, peguam dari Zaid Ibrahim & Co. menerangkan lebih lanjut apa maknanya undang-undang ini kepada syarikat anda dan menjawab:
Bagaimana nak elak penalti jika anda salah taksir duti setem?
Adakah bayaran servis “inter-company” sekarang dah jadi liabiliti cukai?
Apa jadi jika saya pakai template lama untuk digital filing baharu sekarang?
Kenapa duti setem diperlukan?
Duti setem adalah cukai ke atas dokumen bertulis (instrumen). Tapi ramai orang silap bila kata duti setem adalah cukai ke atas transaksi itu sendiri. Contohnya, kalau anda setuju nak sewa kedai RM1,000 secara lisan (cakap mulut saja), secara teknikalnya tiada “instrumen” untuk disetemkan.
Wajib bertulis: Perjanjian tersebut mestilah dalam bentuk fizikal atau bertulis untuk dikenakan duti setem. Sebaik sahaja komitmen itu dicatat atas kertas, Akta Setem 1949 mula terpakai.
Rujukan Jadual Pertama: Sesuatu dokumen hanya perlu disetemkan jika ia tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Setem. Kalau tiada dalam senarai, maksudnya tiada duti.
Contoh instrumen yang perlu disetemkan:
Hartanah: Perjanjian Jual Beli (SPA), perjanjian sewa/pajakan, dan Memorandum Pindah Milik (MOT).
Kewangan: Dokumen fasiliti bank dan perjanjian pinjaman.
Operasi Bisnes: Perjanjian perkhidmatan (service agreement), pajakan peralatan, dan surat kuasa (power of attorney).
Risiko tiada duti setem: Walaupun tiada dokumen bermakna tiada duti setem, Kelly mengingatkan ini adalah langkah berisiko tinggi. Tanpa instrumen bertulis yang disetemkan, anda akan hilang perlindungan undang-undang dan dokumen tersebut mungkin tidak diterima sebagai bukti sah di mahkamah Malaysia jika berlaku pertikaian.
Cara kira duti setem
1. Duti nominal (kadar tetap): Ini adalah caj rata yang tidak bergantung kepada nilai kontrak anda.
Kos: Biasanya hanya RM10.
Kegunaan: Untuk dokumen umum seperti surat perjanjian (Item 4), surat kuasa wakil (Power of Attorney), atau dokumen tambahan di mana kontrak utamanya sudah pun disetemkan.
Berita baik 2026: Di bawah Bajet 2026, kontrak pekerjaan dengan gaji RM3,000 ke bawah kini dikecualikan daripada duti setem nominal RM10 ini.
2. Duti ad valorem (kadar mengikut nilai): “Ad Valorem” bermaksud “mengikut nilai”. Semakin besar nilai transaksi anda, semakin tinggi cukai yang perlu dibayar.
Kadar Biasa:
Perjanjian Perkhidmatan (Service Agreement): Dikenakan 0.1% daripada jumlah nilai kontrak.
Perjanjian Pinjaman: Biasanya pada kadar 0.5% daripada jumlah pinjaman.
Pindah Milik Hartanah (Memorandum of Transfer - MOT): Ini yang paling “pedih” kerana kadarnya adalah berperingkat (tiered):
1% untuk RM100,000 pertama.
2% untuk RM400,000 seterusnya.
3% untuk baki sehingga RM1 juta.
4% untuk nilai melebihi RM1 juta.
Nota penting untuk warga asing: Mulai 1 Januari 2026, kadar duti setem untuk pembelian rumah oleh warga asing atau syarikat asing telah dinaikkan kepada kadar rata 8%.
Di bawah sistem Taksir Sendiri (STSDS) yang bermula semalam, anda tidak lagi boleh berharap kepada pegawai LHDN untuk membetulkan pengiraan anda. Jika anda tersalah pilih kategori (contohnya letak kadar nominal RM10 sedangkan dokumen itu sepatutnya ad valorem 0.1%), anda berisiko terkena denda penalti.
Dari "tunggu & bayar" ke "taksir sendiri"
Sebelum 2026, anda hanya perlu muat naik dokumen, dan pegawai LHDN akan kirakan jumlah duti untuk anda (sistem adjudikasi). Sekarang, tanggungjawab itu 100% di bahu anda. LHDN tidak lagi akan "semak" sebelum anda bayar.
Pilih, kira, & bayar sendiri: Anda perlu log masuk ke portal e-Duti Setem (melalui MyTax), pilih kategori instrumen yang betul, masukkan nilai kontrak, dan sistem akan keluarkan jumlah bayaran secara automatik berdasarkan input anda.
Mulai semalam, sistem ini wajib untuk:
Perjanjian Sewa / Pajakan.
Penyeteman Am (Surat Perjanjian biasa).
Instrumen Sekuriti.
Kepantasan vs. ketepatan: Sistem baharu ini jauh lebih pantas kerana anda boleh dapatkan sijil setem serta-merta selepas bayaran. Namun, kepantasan ini datang dengan risiko. Jika anda tersalah pilih kategori atau tersalah letak nilai, sijil tersebut mungkin dianggap tidak sah.
Kelly menekankan bahawa semua pemilik bisnes kini perlu tahu serba sedikit tentang Jadual Pertama Akta Setem 1949. Anda tidak boleh lagi "main agak-agak" kerana taksiran anda dianggap muktamad sebaik sahaja bayaran dibuat.
Mitos mahkamah & risiko "inter-company"
Ramai business owners tersilap bila ingat duti setem hanya perlu dibayar jika mereka mahu menyaman seseorang di mahkamah kalau jadi apa-apa yang buruk dalam urusan instrumen mereka.
Memang betul dokumen yang tidak disetemkan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah (Seksyen 52 Akta Setem 1949). Tapi, jangan lupa: walaupun anda tak berniat nak saman sesiapa, jangan guna itu sebagai alasan untuk tidak ‘mematikan’ setem dokumen anda. LHDN sekarang lebih fokus pada audit. Silap haribulan, denda yang anda kena bayar, jauh lebih tinggi daripada nilai setem asal.
Risiko audit LHDN: Kelly mengingatkan bahawa mentaliti "tak apa kalau tak masuk mahkamah" ini adalah tiket sehala ke audit LHDN. Di bawah sistem taksir sendiri (STSDS) mulai semalam, LHDN akan lebih agresif melakukan audit rawak terhadap dokumen syarikat.
Bahaya transaksi "adik-beradik" (Inter-company): Ini adalah jenis transaksi yang paling kerap terlepas pandang. Banyak syarikat menganggap perjanjian dengan syarikat berkaitan (related entities) tidak perlu disetemkan sebab "kita-kita saja".
Contoh:
Perjanjian pinjaman antara syarikat: Walaupun sekadar pinjam modal pusingan dalam kumpulan syarikat.
Perjanjian sewa antara syarikat: Contohnya, syarikat A sewa pejabat kepada syarikat B dalam kumpulan yang sama.
Sokongan perkhidmatan (support services): Contohnya, HQ mengenakan caj pengurusan kepada anak syarikat.
Impak harga pemindahan (transfer pricing): Syarikat selalunya ada perjanjian bertulis untuk menyokong penetapan harga antara syarikat (TP), tetapi lupa untuk matikan setem. Jika diaudit, ini boleh menjadi liabiliti cukai yang besar.
Perangkap templat: bahaya guna "copy-paste"
Ramai pengasas suka ambil templat perjanjian dari internet atau guna semula dokumen lama syarikat untuk jimat kos. Kelly memberi amaran bahawa di bawah sistem baharu ini, tindakan tersebut boleh memakan diri.
Templat selalunya bersifat umum (generic). Jika kandungan dokumen tidak diubah suai mengikut transaksi sebenar anda, anda mungkin tersalah lapor jenis instrumen.
Risiko terlebih bayar: Ada templat yang memasukkan klausa tambahan yang tidak perlu, yang secara tidak sengaja boleh menyebabkan dokumen anda jatuh ke bawah kategori duti yang lebih mahal (ad valorem) berbanding kadar tetap (nominal) RM10.
Penalti “Borang Nyata Tidak Betul”: Di bawah sistem Taksir Sendiri (STSDS), jika anda guna templat yang salah dan menyebabkan taksiran duti menjadi tidak tepat, anda boleh dikenakan penalti kerana mengemukakan maklumat yang salah atau tidak tepat.
Isi vs. tajuk: LHDN melihat kepada isi dokumen, bukannya tajuk di atas kertas. Walaupun tajuknya “MOU”, tapi kalau isinya ada janji pembayaran yang mengikat, ia tetap dianggap perjanjian yang perlu dimatikan setem.
Nasihat Kelly: Pastikan setiap instrumen yang dimuat naik ke portal MyTax telah disesuaikan (tailored) dengan situasi semasa perniagaan anda untuk mengelakkan liabiliti duti setem yang tidak disengajakan.
Penalti baharu: bukan sekadar lewat bayar
Sebelum ini, fokus utama adalah pada denda lewat (late payment).
Sekarang, dengan sistem taksir sendiri, liabiliti anda menjadi lebih luas—sama seperti sistem cukai pendapatan (income tax).
Penalti Gagal Mengemukakan Borang (Non-filing): Jika anda mempunyai dokumen yang wajib disetemkan tetapi anda tidak menghantar Borang Nyata Duti Setem (BNDS) melalui MyTax, anda boleh dikenakan penalti kerana gagal memfailkan penyata.
Penalti Borang Tidak Betul (Incorrect Return): Jika anda menghantar borang tetapi maklumat di dalamnya salah (contohnya tersalah letak nilai kontrak yang lebih rendah), anda boleh didenda kerana memberikan maklumat yang tidak tepat yang menjejaskan jumlah duti sepatutnya.
Sembunyi Dokumen (Fraudulent Concealment): Ini yang paling berat. Jika didapati anda sengaja menyembunyikan dokumen atau menggunakan helah untuk mengelak daripada membayar duti, anda boleh dikenakan penalti di bawah peruntukan fraud atau penipuan.
Kelly menjelaskan bahawa model penalti ini kini "agak serupa" dengan sistem cukai sedia ada. LHDN mempunyai kuasa untuk mengaudit dan mengenakan penalti jika taksiran sendiri anda didapati tidak jujur atau tidak tepat.
Grace period 12 bulan
Berita baik: Walaupun struktur penalti ini menakutkan, LHDN telah mengesahkan bahawa tiada penalti akan dikenakan bagi tahun pertama (1 Jan – 31 Dis 2026).
Ini adalah tempoh "pendidikan" untuk anda membiasakan diri dengan sistem baharu tanpa perlu takut didenda jika tersilap langkah buat kali pertama.
Kelly menasihatkan pemilik bisnes untuk menggunakan tempoh 12 bulan ini untuk menyusun semula proses dalaman dan melatih pasukan kewangan agar mahir menggunakan portal MyTax.
Apa anda perlu buat sekarang
Audit dokumen “dalaman”: Semak semula semua kontrak antara syarikat (inter-company) atau surat sokongan perkhidmatan yang pernah anda tanda tangani tapi belum dimatikan setem.
Kemas kini akses MyTax: Pastikan staf finance anda mempunyai akses yang betul ke modul STSDS di dalam portal MyTax.
Suaikan templat anda: Jangan sekadar copy-paste templat Google. Pastikan klausa dalam kontrak anda mencerminkan transaksi sebenar untuk mengelakkan kadar duti ad valorem yang tidak perlu.
Hadir latihan/webinar: Manfaatkan tempoh tanpa penalti tahun ini untuk menghadiri sesi taklimat oleh LHDN atau persatuan industri tentang cara pengiraan duti yang tepat.


