Kira Organic Farm: Bisnes Jual Sayur Organik
Pakar pertanian regenerative dan synctropic; realiti bisnes pertanian organik di Malaysia; dan pengajaran 8 bulan yang dipelajari Kira Organic Farm bila 'terlalu pandai'.
1. Latar belakang
Siapa anda berdua dan bisnes apa yang kalian buat?
(Kadir) Nama saya Abdul Kadir Wahab. Saya mengusahakan Kira Organic Farm di Ulu Yam, Selangor bersama isteri, Fakhirah Roslan. Kira Organic Farm bermula sebagai ladang kecil yang terus jual kepada pengguna, bukan borong. Fokus kami pada fast cash crop, sayur yang cepat tumbuh dan boleh dijual terus ke pelanggan. Sekarang, bisnes kami berevolusi kepada servis konsultansi pertanian terutamanya dalam bidang regenerative farming dan synctropic farming.
Apa maksud regenerative farming dan synctropic farming?
(Kadir) Regenerative farming ini bagi saya cuma satu ‘buzzword’. Basically ia cuma satu buzzword untuk menceritakan satu pertanian yang lebih sustainable. Asasnya adalah bila kita buat sebarang bentuk pertanian, ekosistem tanah selepas kena lebih bagus berbanding sebelum.
Maksudnya, bila kita bertani di satu kawasan tanah ini, mungkin pada mulanya kawasan ladang itu tak cukup biodiversiti. Mungkin haiwan/serangga pemangsa yang akan makan haiwan/serangga perosak tanaman kita tak cukup. Tapi dengan buat regenerative farming, kita akan cuba buat satu ekosistem supaya ada pemangsa semula jadi untuk haiwan/serangga perosak. Dalam pada masa yang sama, kita juga nak meningkatkan microbial diversity dalam tanah.
Jadi idea dia adalah kita nak situasi net positive di ladang kita. Apa sahaja benda yang kita buat, dia akan membuatkan ekosistem ladang kita lebih bagus berbanding semasa kita mula-mula bertani. Itulah asas regenerative farming.
Synctropic farming pula secara kasarnya adalah ladang hutan. Maknanya tak kira anda tanam sayur apa-apa pun, dalam sistem ladang anda kena ada pokok.
Maksudnya, anda tanam empat batas sayur. Selepas itu, anda simpan satu batas untuk tanam pokok. It could be pokok balak, it could be pokok durian. Dalam synctropic farming, ada konsep yang namanya ‘strata’. Contohnya katakan anda tanam sayur bayam. Itu strata pertama anda. Strata kedua adalah pokok yang tinggi sikit seperti pokok pisang. Kemudian strata seterusnya adalah pokok yang lebih tinggi yang mencapai ketinggian 15-20 kaki seperti pokok durian.
Jadi bila ada banyak tahap ketinggian sebegini, semua pokok di semua ketinggian dapat cahaya matahari yang maksimum. Daun daripada pokok-pokok ini boleh memproses cahaya matahari menjadi makanan kepada pokok-pokok lain di ekosistemnya.
Enable 3rd party cookies or use another browser
Kenapa Kira Organic Farm memilih metodologi pertanian ini berbanding metodologi yang lebih mainstream yang digunakan oleh majoriti ladang komersial di Malaysia?
(Kadir) Selepas habis belajar1, saya pernah bekerja sebagai pengurus ladang berkeluasan 70 ekar di utara. Tapi saya rasa amalan pertanian di Malaysia dah sampai satu tahap di mana satu hari nanti ia akan menjadi tak relevan. Kalau kita tak buat sesuatu yang baharu, Malaysia akan ketinggalan sampai bila-bila.
(Fakhirah) Kadir tak thrive duduk dalam pejabat.
(Kadir) Ya (ketawa). Selepas balik dari AS, rasa untuk bereksperimen, berinovasi dan membuktikan sesuatu itu sangat kuat. Walaupun saya ada ruang untuk berinovasi sebagai pengurus ladang, saya fikir bukan semua orang ada peluang menjadi pengurus ladang. Dan bukan semua orang boleh beli tanah berekar-ekar. Saya nak inovasi saya boleh dibuat oleh geng-geng muda yang minat nak buat pertanian. Jadi saya buat keputusan untuk membuka ladang sendiri. Maka lahirlah Kira Organic Farm pada tahun 2019.
Kenapa buka Kira Organic Farm di Selangor? Kenapa bukan di negeri lain yang tanahnya lebih murah?
(Fakhirah) Sebenarnya kebetulan. Kami baru sahaja membeli rumah di Radia. Kemudian kami ajak kawan-kawan datang rumah. Kebetulan ada seorang kawan kami beritahu dia ada tanah di Ulu Yam. Kami pula memang tengah mencari tanah untuk buat ladang. Jadi kami terus proceed untuk sewa tanahnya untuk dibuat ladang.
(Kadir) Satu lagi sebab—selepas berkahwin, kami buat keputusan tak nak hidup berjauhan. Sebelum kahwin, saya di utara. Fakhirah pula bekerja di Selangor.
(Fakhirah) Betul. Selain itu, Selangor juga ada pasaran dan permintaan besar untuk produk organik.
2. Membina bisnes
Bagaimana kalian mendapat dana untuk membuka Kira Organic Farm? Modal nak buka ladang tak murah, kan?
(Fakhirah) Memang tak murah. Kami bermula dengan simpanan sendiri dan suntikan modal ‘FAMA’ (ibu dan bapa). Kami bermula dengan modal sekitar RM150,000, dibelanjakan secara berperingkat sepanjang 4-5 tahun.
Apa langkah pertama selepas mendapat modal?
(Fakhirah) Daftar syarikat di SSM, buka akaun bank dan sewa tanah.
(Kadir) Dari sudut saya pula, perkara pertama yang saya buat adalah mengorek pasir dan batu memandangkan tanah yang kami sewa dekat dengan sungai. Kalau tak korek, anda tanam apa pun takkan jadi. Selepas semua pasir dan batu dikeluarkan, barulah kami mula menanam tiga produk pertama kami: bayam, kangkung dan sawi.
Kenapa bayam, kangkung dan sawi dahulu?
(Kadir) Sebab dalam masa 30 hari, saya boleh menuai dan menjual.
Bagaimana kalian memasarkan bayam, kangkung dan sawi ini?
(Fakhirah) Saya buat poster jualan di Canva dan menghantarnya ke WhatsApp. Saya ingat lagi, saya cuma hantar ke lima jiran rumah ibu bapa saya sahaja. Sebagai introvert, kerja ini sebenarnya saya tak nak buat dan tak suka buat. Tapi saya jadi bersemangat bila mereka kata sayur kami lebih tahan lama simpan di peti ais, lebih manis, lebih sedap. Tak macam sayur yang biasa mereka beli di tempat lain. Respon positif mereka kemudiannya menjadi word-of-mouth marketing dan menarik minat lebih ramai orang untuk membeli produk kami.
Ada komen negatif dari pelanggan?
(Fakhirah) Ada. Mereka kata kami bagi banyak sangat dalam satu pek. Mereka kata, “Bagi banyak ni siapa nak makan? Membazir”.
(Kadir) Kami jual murah sangat.
(Fakhirah) Ya. Idea kami adalah untuk menjual kepada keluarga. Jadi kami pek berdasarkan keperluan sebuah keluarga iaitu 200-300g. Bila kami pek sampai 400-500g per pek, pelanggan tak suka. Bila kami tawarkan banyak pilihan pun, pelanggan tak suka. At one point, kami pernah ada sampai 20 jenis pilihan. Tapi pelanggan kami cuma nak 3-4 jenis sahaja. Dan 3-4 jenis ini jugalah yang sentiasa habis cepat. Jadi untuk menggalakkan mereka mencuba sayur lain, kami buat bundle pack yang kami sendiri pilih—a la Farmer’s Choice. Jadi mereka boleh dapat 9 jenis sayur pada harga RM20.
Di Kira Organic Farm, apa proses anda? Tanam dulu baru cari pelanggan atau cari pelanggan dulu baru tanam?
(Kadir) Proses kami bermula dengan menanam 5-6 jenis sayur yang kami tahu memang pasaran Malaysia sentiasa nak. Kemudian kami akan bereksperimen menanam 6-7 jenis sayur lain. Tapi jumlahnya sikit sahaja. Kami tengok ada permintaan atau tidak dari situ.
Antara sayur yang kami bereksperimen tanam dulu baru tengok permintaan, adalah salad (lettuce). Salad yang mendapat permintaan tinggi adalah salad yang ditanam di tanah tinggi seperti Cameron Highlands. Tapi salad yang ditanam di tanah rendah dan cuaca panas seperti di ladang kami, rasanya lebih pahit. Malah, salad yang dituai juga tak membesar sebagaimana salad Cameron Highlands.
Kami tak pernah tanya pelanggan kami, sayur apa yang mereka nak? Sebab mereka sendiri pun tak tahu nama sayur yang mereka nak. Contohnya sayur sawi—boleh dipecahkan lagi kepada 8 jenis. Lagipun orang Melayu tak berapa kreatif masak sayur.
Ada tak sayur ‘eksperimen’ yang kemudiannya mendapat permintaan baik dari pelanggan?
Ada—sawi bunga. Ada orang sebut namanya ‘sawi Hong Kong’. Rasanya tak pahit. Orang suka buat hidangan stir fried dengan sawi ini.
3. Membesarkan bisnes
Berapa CAC (customer acquisition cost) dan LTV (lifetime value) bisnes kalian?
(Fakhirah) Kami pernah cuba Facebook Ads. Sekali dua. Tapi tak begitu berkesan. WhatsApp paling efektif. Satu-satunya kos pemasaran yang kami bayar setiap bulan adalah RM30 untuk platform Orderla.my.
(Kadir) Disebabkan pemasaran kami hampir secara eksklusifnya melalui cara organik di WhatsApp, majoriti pelanggan kami adalah pembeli berulang. Boleh dikatakan hampir 90% pelanggan kami setiap bulan adalah pembeli berulang. Sampai sekarang, kami kenal kesemua mereka dengan nama.
(Fakhirah) Dalam satu transaksi, pelanggan kami secara puratanya membelanjakan RM20. Dalam sebulan, nilai transaksi per pelanggan adalah sekitar RM50.
Anggaran2:
CAC = RM30 (kos Orderla.my sebulan) ÷ 40 pelanggan = ±RM0.75 seorang
LTV = RM50 sebulan × anggaran 6 bulan hubungan = ±RM300/pelanggan
Apa strategi Kira Organic Farm untuk scale-up?
(Kadir) Sepanjang 4 tahun pertama kami beroperasi, memang kami buat B2C sahaja. Kemudian pada tahun lepas, kami dah dapat sijil MyOrganic3. Jadi kami buat keputusan untuk jual kepada orang tengah sebab harga yang mereka tawar pun sedap. Masa itu mereka tawarkan kami harga bayam RM6/kg—kira okey lah sebab mereka boleh beli sekali banyak, pengangkutan mereka sediakan dan QC4 pun tak leceh.
Tapi isu dia timbul bila kami tak bersedia dari segi production. Kenapa? Sebab sebagai ladang organik yang bercita-cita untuk menaikkan skala production, kami akan menghadapi banyak masalah serangga perosak. Masalah serangga perosak akan jadi lebih ketara bila sesebuah ladang buat monoculture—hanya tanam 1-2 jenis sayur. Berbanding masa kita tanam sehingga 20 jenis sayur (polyculture), masalah serangga perosak tidak ketara sangat. Sebab ekosistem ladang stabil.
Jadi kami buat keputusan untuk berhenti scale up dengan cara menjual 1-2 jenis sayur (monoculture) dalam kuantiti banyak, dan kembali ke cara yang lebih konvensional (tanam banyak jenis sayur tanpa racun serangga).
(Fakhirah) Sebelum mempertimbangkan strategi menjual ke orang tengah lagi, kami ada berbincang cara lain untuk scale up. Tetapi dengan menawarkan servis konsultansi kami—terutamanya dengan NGO untuk mengajar komuniti orang asli ilmu pertanian organik. Kami ajar mereka cara nak tanam, dan kami hubungkan mereka dengan rakan kerjasama kami di bidang logistik untuk memasarkan produk mereka.
Bagaimana kalian membahagikan masa antara konsultansi dengan menjaga ladang?
(Fakhirah) Satu benda bagus tentang pertanian organik adalah anda kena bagi masa kepada tanah untuk ‘berehat’. Jadi semasa tanah berehat inilah kami aktif bekerjasama dengan klien-klien dari ladang organik lain yang memerlukan kepakaran kami.
4. Pengajaran
Apa momen paling rendah bagi Kira Organic Farm? Apa yang kalian lakukan untuk mengatasinya?
(Fakhirah) Ada dua. Yang pertama adalah bila ada cuaca buruk—sama ada cuaca terlalu panas atau terlalu banyak hujan. Disebabkan kami tanam cash crop, kalau tanaman tak menjadi, pemulihan (hasil tanaman) hanya mengambil masa dalam sebulan atau sebulan setengah. Jadi, ia tak terlalu teruk.
Yang kedua—dan yang paling teruk—adalah bila pekerja lari. Kami pernah ambil pekerja asing, tapi 1-2 orang saja dalam satu-satu masa. Dan biasalah, pekerja asing ni ada ‘tarikh luput’ mereka. Yang paling sekejap kerja dengan kami cuma 3 hari. Yang paling lama pun setahun saja.
(Kadir) Tak banyak pekerja ladang faham mindset bekerja di ladang organik. Contohnya mereka tak faham kenapa kita tak pakai racun. Bila tanaman diserang perosak, mereka kata, “Kenapa nak buat macam ini? Kenapa tak racun?” Bila kita ajar mereka guna teknologi baharu, terutamanya teknologi yang memerlukan masa untuk mereka jadi pandai, mereka akan rasa ‘tak best’. Sebab itulah buat masa ini, kami rasa lebih baik kami fokus ajar orang lain buat pertanian organik. Supaya lebih ramai orang tahu buat pertanian organik.
Betulkah buat ladang organik boleh jadi bisnes lumayan. Apa realitinya selepas kalian buat hampir 7 tahun?
(Fakhirah) Pada awalnya, semasa kami mula jual secara B2C, memang kami betul-betul jual hanya untuk cukup bayar gaji pekerja sahaja. Tapi masa tu kami okey sahaja. Sebab kami fikir, “Kita baru mula. Ini macam sesi latihan. Ini fasa percubaan.” Itu dari sudut pandang saya. Yang penting bagi saya pada masa itu ialah cukup untuk tampung gaji pekerja. Itu sahaja.
Jadi, isunya pada masa itu adalah kami tak berani nak kembangkan (bisnes) sebab kami takut tak dapat nak ingat semua nama pelanggan, atau kami tak dapat beri layanan macam dulu. Kami pun tak tahu macam mana nak delegasikan tugas. Macam mana nak ajar orang buat kerja kami. Sebab kami tahu orang lain takkan ada empati atau keprihatinan yang sama macam kami dengan pelanggan.
Dari sudut kewangan, kos paling tinggi hanyalah tenaga kerja. Yang lain memang minima. Kalau nak anggarkan kos tahunan masa itu—sekitar RM25,000 untuk gaji pekerja. Dan RM6,000 untuk sewa tanah—itu pun harga kawan. Jadi, dalam setahun kami survive dengan kira-kira RM50,000. Bakinya pergi kepada kos peralatan dan kos kecil lain—anggaran RM10,000.
Sejujurnya Kira Organic Farm memang idealistik. Ia memang 100% projek eksperimen. Kami sebenarnya tak pernah betul-betul cuba nak jadikan ini sebagai bisnes. Walaupun cerita ini supposed to be cerita bisnes, kami bukan contoh ideal pun untuk bisnes.
Kami sebenarnya lebih cenderung kepada usaha yang memberi impak. Sebab tu kami akhirnya fokus pada pembangunan komuniti dan khidmat konsultansi. Dan kebanyakan kerja konsultansi kami memang memberi kesan kepada komuniti tempatan, termasuk orang asli.
Kami cuba perbaiki tanah dan masyarakat. Dan kami sedar inilah kekuatan kami. Sebab itu kami beralih ke arah itu. Gaya kami adalah terus bereksperimen supaya orang lain pun boleh belajar dari pengalaman kami. Maknanya, kami jadi macam "bank ilmu" yang boleh dikongsi dengan orang lain.
Kami tak pernah rasa, “Okey ini teknik terbaik, kita kekal buat macam ini.” Tak. Kami akan terus explore. Kira Farm memang ladang eksperimen dari dulu sampai sekarang.
Setiap tahun mesti akan ada masalah baru, dan kami akan cuba cari benda baru untuk selesaikan. Sebab tu kami tak pernah tetap pada satu cara sahaja. Kami tak pernah rasa, “Okey, ini cukup.” Tak. Matlamat kami sentiasa untuk eksperimen dan cuba sebaik mungkin dalam ruang dan model yang kami ada.
Satu lagi perkara tentang keuntungan—selepas bertahun-tahun baru kami sedar bahawa hampir tiada satu pun ladang di Malaysia yang boleh hidup hanya dengan jual sayur sahaja. Semua mesti ada diversifikasi. Kena ada aktiviti lain macam lawatan kebun, atau produk hiliran—contohnya buat jem dari hasil sendiri, atau buat pesto dari bayam. Kena ada benda tambahan. Jadi, anda tak boleh hanya bergantung pada sayur semata-mata. Anda takkan dapat untung.
Dan bila kami sedar benda tu, kami pun sedar sebenarnya kami tak minat nak buat bisnes dalam bentuk konvensional. Tapi inilah Kira Organic Farm.
Apa contoh eksperimentasi yang kalian buat di Kira Organic Farm?
(Kadir) Salah satunya saya buat dengan seorang penyelidik dari USM, Ir. Dr. Abdul Haadi. Masa itu kami tengah tanam lettuce (salad). Tapi masalah dia, biji benih salad bentuk bujur, bukan bulat. Jadi bila nak semai dalam tray, memang tak ada alat khas yang boleh automate proses tu. Kalau biji bulat, saya boleh guna mesin untuk buat selama 10 saat sahaja. Tapi bila bujur, kena manual, satu-satu.
Saya fikir, gila apa nak bayar orang ambil benih satu-satu, letak satu-satu. Buang masa.
Saya terus bagitahu masalah ini kepada Dr. Haadi. Dia pun tengok, buat 2-3 prototaip. Akhirnya dia dapat solusi dan solusinya memang menjadi. Sangat berguna untuk orang yang nak buat transplant dari tray.
Kalau tengok balik sekarang, apa andaian awal yang kalian buat masa mula-mula buka Kira Organic Farm, dan ternyata sekarang andaian tu salah?
(Fakhirah) Banyak sangat. Saya masih ingat perkara paling kelakar dan paling tak masuk akal yang kami buat adalah dalam kerja-kerja buruh. Kadir pada masa itu fikir lebih murah kalau kita keluarkan sendiri pasir dan batu sebab tanah kita jenis tanah pasir bercampur batu. Dia fikir kami patut bootstrap. Sebab kalau kami nak tunjuk kepada orang cara buat pertanian organik secara kecil-kecilan tanpa modal besar, inilah caranya. Buat semua sendiri. Jadi kami buat kerja itu secara manual.
Tapi bila fikir balik, itu memang keputusan yang bodoh.
(Kadir) Tak sangka kami habiskan 8 bulan hanya untuk buang batu dari tanah. Memang tak masuk akal.
(Fakhirah) Itulah andaian pertama. Kami sangka kami patut buat semuanya sendiri. Sepatutnya skip terus—guna sahaja jentera, siapkan petak tanah betul-betul, dan terus mula tanam. Buat kerja jangan semua sendiri. Bayar orang untuk buat. Pastikan semuanya mantap dari awal. Selepas itu baru perlahan-lahan improve.
Kalian memang teruk dalam bab delegasi tugas…
(Kadir) Ya. OMG. Bila fikir balik… memang betul.
Masa itu kami fikir, “Aku pandai buat semua benda. Aku tahu buat semua.” Tapi hakikatnya, itu tak bermaksud anda kena buat semua sendiri. Tak berbaloi dengan masa dan nilai anda untuk buat kerja yang boleh orang lain buat dengan lebih murah dan efisien. Benda-benda macam itu patutnya kita outsource. Tapi masa tu, kami langsung tak faham benda ini.
5. Nasihat kepada rakan usahawan lain
Kalau ada orang masuk dalam bisnes pertanian, apa benda yang mereka patut tahu sebelum mula?
(Kadir) Tanya dulu: apa objektif sebenar anda nak buat pertanian? Kalau objektif anda nak buat duit banyak, then fokuslah untuk buat duit. Barulah boleh tentukan skop, saiz, dan pendekatan yang sesuai. Itu nasihat saya. Dan satu lagi: kena ada diversifikasi di ladang anda.
Kita kena jujur—ramai orang sangka, pertanian adalah aktiviti yang “natural”, yang datang secara semula jadi. Boleh hidup tenang-tenang di desa. Ramai fikir lepas kaya, boleh pindah kampung, bela kambing, tanam sayur. Tapi realitinya, itu fantasi.
Saya sendiri pernah ada klien yang simpan niat selama 3 tahun nak buat pertanian. Tapi bila betul-betul nak buat, saya terpaksa “panggil dia balik ke bumi”—sebab tanggapan dia jauh tersasar dari realiti.
Nak tanam durian ke, bela ikan ke, buat ladang sayur—tolong cari orang yang ada pengalaman dan pandangan yang rasional. Cari seseorang yang memang tahu tentang bisnes tersebut. Tak semestinya dia perlu berjaya besar pun, asalkan dia boleh bagi anda gambaran yang jujur tentang apa yang akan anda hadapi. Connect dengan mereka. Jangan belajar sorang-sorang.
Ada tak satu buku yang betul-betul mengubah cara kalian berfikir tentang bisnes—terutamanya dalam bisnes pertanian?
Buku yang betul-betul mencetuskan minat saya terhadap pertanian organik ialah The Market Gardener oleh Jean-Martin Fortier.
Buku ini bagi saya satu perspektif yang sangat membuka mata. Kita tahu di Amerika Syarikat, ladang-ladang besar—500 ekar, 10,000 ekar, sampai 20,000 ekar pun ada. Tapi Fortier tulis daripada sudut pandang dia di Amerika Utara. Dia membuktikan anda boleh bertani atas tanah yang kecil sahaja—dalam 2 ke 3 ekar—tapi masih boleh hasilkan pendapatan ratusan ribu dalam setahun.
Itu yang mengubah cara saya lihat pertanian organik berskala kecil. Dalam buku tu, dia bukan saja kongsi teknik bertani, tapi juga aspek pengurusan dan pemasaran. Memang teknik-teknik yang dia guna tu tak semuanya sesuai dengan iklim kita di Malaysia, tapi dari segi pendekatan dan sistem yang dia bina—tulisannya memberi inspirasi.
Dia tekankan bahawa kita tak perlu terlalu rigid dengan falsafah organik. Yang penting adalah bagaimana kita boleh bina satu sistem yang modular, efisien, dan boleh diurus dengan baik.
Buku ni tak fokus semata-mata kepada sains pertanian, tapi seimbang—ada sains, ada pengurusan, dan ada strategi jualan. Jadi dia cover seluruh kitaran bisnes pertanian.
Buku ini lah yang betul-betul tarik minat saya untuk masuk ke bidang ini. Dan saya rasa sampai sekarang pun buku ni masih relevan—terutamanya untuk sesiapa yang nak mula pertanian organik secara kecil-kecilan dan perlukan inspirasi serta panduan praktikal.
6. Peluang pekerjaan/kerjasama
Adakah kalian sedang mencari pekerja baru? Untuk posisi apa? Dan macam mana nak mohon?
(Kadir) Buat masa ini, Kira Farm tidak mempunyai sebarang kekosongan jawatan kerana kami sedang berada dalam fasa rehat sementara (hiatus). Namun begitu, kami terbuka untuk permohonan internship dan juga kerjasama (partnership). Kalau ada sesiapa yang berminat untuk:
Buat latihan industri (internship)
Belajar atau tanya pasal pertanian organik
Atau nak bincang tentang peluang kerjasama
… boleh terus hubungi kami di kiraorganicfarm@gmail.com.
Kerjasama yang dimaksudkan itu luas, contohnya:
Nak bantu jual hasil pertanian kami
Ada idea yang mungkin boleh kami cuba atau bangunkan sama-sama
Nak bertukar pandangan macam mana nak kembangkan bisnes pertanian
Kami sangat terbuka kepada kerjasama yang berteraskan pembangunan komuniti dan pertanian, termasuklah:
Latihan dalam bidang regenerative agriculture
Praktis pengurusan terbaik (Best Management Practices – BMP) untuk sektor kelapa sawit
Biasanya, kami bekerjasama dengan NGO dan syarikat impak sosial (social impact companies/social enterprises).
Matlamat jangka masa panjang kami adalah untuk menjadikan Kira Farm sebagai pusat latihan bagi bidang-bidang ini.
Ada kata-kata terakhir?
(Kadir) Bagi saya, sektor pertanian Malaysia sebenarnya masih ada ruang yang sangat luas untuk inovasi dan penambahbaikan. Jadi, kalau ada sesiapa yang memang minat dalam inovasi dalam pertanian, sekarang adalah masa yang sangat sesuai.
Saya nampak sendiri sekarang kerajaan pun memang galakkan kita untuk capai kelestarian dalam pengeluaran makanan. Tambahan pula, banyak sistem lama yang terlalu bergantung pada baja kimia dan racun komersial mula hadapi kesukaran. Jadi kalau ada yang nak cuba pendekatan yang lebih mampan, sekarang banyak saluran yang boleh bantu.
Cuma, jalannya bukan mudah. Sebaik-baiknya anda kena ada geng, kawan, atau ikut jejak langkah syarikat lain yang dah mula. Supaya kita boleh belajar sama-sama, bekerjasama, dan berbincang idea. Tak ada siapa pun yang pakar dalam semua benda. Tapi kalau kita tahu cara nak berkolaborasi dengan orang lain, banyak masalah sebenarnya boleh kita selesaikan sama-sama.
Kesimpulannya, ya—kami memang galakkan orang untuk ikut jejak dan sertai kami dalam pertanian organik. Saya sendiri lepas buat banyak eksperimen, nampak masa depan terletak pada pertanian organik kalau kita betul-betul nak buat benda ni secara lestari dan jadikan ia satu kerjaya yang kukuh.
Tapi saya kena jujur—benda ini tak senang. Ia ambil masa. Mungkin lepas 5 tahun bekerja di ladang organik yang betul-betul ikut cara yang betul, baru anda akan capai keyakinan dan kefahaman sebenar. Kemudian barulah anda akan rasa hasil sebenar dari titik peluh sendiri.
7. Teknologi dipakai
Produktiviti: Google Workspace
Ecommerce: Orderla.my
CRM: WhatsApp
Lain-lain: CoolBot, OpenSprinkler
8. Hubungi mereka
Facebook: Kira Organic Farm
Instagram: Kira Organic Farm
TikTok: Kira Farm Life
Kadir dan Fakhirah kedua-duanya merupakan graduan jurusan bioteknologi dari UC Davis.
Nisbah LTV:CAC sekitar 400:1, sangat tinggi dan efisien — menunjukkan strategi organik + servis personal melalui WhatsApp betul-betul berkesan untuk Kira Organic Farm.
myOrganic (Malaysia Organic / Skim Pensijilan Organik Malaysia) adalah skim pensijilan yang diberi oleh Jabatan Pertanian untuk mengiktiraf ladang yang diusahakan secara organik.
QC: Quality Control