Merger Sunway-IJM: 3 Saham Anda Kena Monitor
Ketahui impak konsolidasi dua syarikat ini & 3 saham pilihan penganalisis untuk portfolio pelaburan saham anda.
Minggu ini, perhatian pelabur terarah kepada tawaran RM11 bilion Sunway Berhad untuk mengambil alih IJM Corporation dalam urus niaga tunai-dan-saham (cash-and-share deal).
Di sebalik angka-angka besar ini, persoalan utama bagi pelabur adalah: adakah penggabungan ini benar-benar membawa nilai tambahan (value accretive), atau ia sekadar pertindihan aset?
Persoalan inilah yang dijawab oleh Royce Tan, Penganalisis Kanan di MBSB Research. Melalui analisisnya, kita akan tahu kenapa skala (scale) kini menjadi senjata utama dalam memenangi projek berimpak tinggi seperti pusat data (data centers) dan jawapan soalan-soalan berikut:
Bagaimana saya mahu menilai (valuation) tawaran saham vs tunai dalam transaksi perniagaan?
Adakah kelebihan skala (scale advantage) benar-benar kunci untuk memenangi tender pusat data?
Apakah saham pilihan (top buys) yang perlu diperhatikan dalam kitaran naik (upcycle) pembinaan ini?
Apa yang IJM & Sunway tawarkan
IJM & Sunway saling melengkapi: Walaupun terdapat pertindihan dalam sektor hartanah dan pembinaan, Royce melihat kedua-dua syarikat ini sebagai saling melengkapi (complementary).
Kekuatan pelbagai sektor: Sunway antara peneraju dalam hospitaliti, kesihatan (healthcare), dan pembangunan perbandaran (township), manakala IJM membawa aset yang Sunway tiada: konsesi infrastruktur (seperti lebuh raya tol).
Pendapatan berulang (Recurring Income): Aset tol IJM akan menyuntik aliran tunai yang stabil ke dalam entiti gabungan, mengukuhkan profil kewangan jangka panjang.
Adakah konsolidasi ini value accretive?
Earnings accretive: Pada peringkat awal, pengambilalihan ini dijangka meningkatkan pendapatan Sunway secara marginal sebanyak kira-kira 1% selepas konsolidasi.
Valuasi adil: Tawaran RM3.15 sesaham adalah pada premium 14.5% daripada harga pasaran terakhir IJM. Penilaian ini diletakkan pada gandaan PE (Price-to-Earnings) 21 kali—sejajar dengan purata sejarah 5 tahun IJM.
Impak jangka panjang: Walaupun kesan segera kecil, sinergi dalam penggunaan aset (seperti kuari dan jentera) akan meningkatkan margin keuntungan dalam jangka masa panjang.
Kelebihan skala (scale advantage)
Entiti ke-8 terbesar: Konsolidasi ini akan mewujudkan gergasi ke-8 terbesar di Bursa Malaysia.
Kelebihan bidaan: Dengan modal pasaran dan kunci kira-kira (balance sheet) yang lebih besar, syarikat ini lebih berupaya memenangi projek “fast-track” seperti pusat data dan infrastruktur rel.
Kecekapan kos: Penyatuan rangkaian perolehan (procurement) dan logistik akan memberikan margin yang sukar ditandingi oleh kontraktor berskala sederhana.
Ramalan sektor pembinaan 2026
Kitaran naik baru: Sektor pembinaan diramal tumbuh 9.5% pada 2026, didorong oleh permintaan sektor swasta yang kini mendominasi 74% daripada nilai kontrak yang dianugerahkan.
Pusat data sebagai pemacu: Aliran pelaburan swasta ke dalam pusat data dan projek industri memastikan kontraktor tetap sibuk walaupun perbelanjaan pembangunan (DevEx) kerajaan terkawal.
3 saham pilihan
Gamuda (KL:GAMUDA): Pilihan utama kerana buku pesanan (order book) yang mencecah tahap rekod dan portfolio geografi yang pelbagai.
Sunway Construction (KL:SUNCON): Dianggap sebagai antara pembina pusat data terbaik negara dengan prospek pertumbuhan yang mantap.
IJM Corp (KL:IJM): Tawaran RM3.15 dianggap peluang untuk pemegang saham untuk “monetise” pegangan mereka pada penilaian yang adil.
Apa anda perlu buat sekarang
Audit portfolio pembinaan: Jika anda memegang saham IJM, kaji tawaran Sunway dengan teliti. Penganalisis seperti HLIB dan MBSB menyarankan “Accept” sebab:
Anda dapat tawaran RM3.15, iaitu 14.5% lebih tinggi daripada harga pasaran terakhir IJM (RM2.75).
IJM bukan ahli indeks FBM KLCI, tetapi Sunway adalah komponen KLCI. Saham KLCI biasanya mempunyai penilaian yang lebih tinggi (valuation premium) dan lebih diminati oleh pelabur besar (KWSP, PNB, dana asing).
Tetapi Kenanga nasihat “Reject” sebab:
Sunway bakal menyenaraikan bahagian hospitalnya (IPO). Sebagai hadiah, Sunway akan beri saham hospital itu secara percuma kepada pemegang saham sedia ada (bernilai lebih kurang 18 sen sesaham).
Pemegang saham IJM yang tukar ke saham Sunway TIDAK LAYAK dapat saham percuma ini kerana proses pertukaran saham hanya selesai selepas tarikh kelayakan dividen tersebut.
Apabila Sunway beri dividen 18 sen itu, harga saham Sunway secara automatik akan jatuh (dilaraskan) untuk mencerminkan nilai yang telah keluar.
Jika harga saham Sunway jatuh selepas dividen, dan anda (sebagai bekas pemegang saham IJM) tidak dapat dividen itu, nilai sebenar yang anda terima sebenarnya bukan RM3.15, tetapi cuma RM2.69. Nilai ini lebih rendah daripada harga pasaran IJM sebelum digantung (RM2.75)!
Fokus pada “data centre play”: Alihkan perhatian kepada syarikat yang mempunyai kepakaran teknikal dalam pusat data (seperti SunCon) kerana sektor ini kini memacu 74% nilai kontrak pasaran, bukan lagi bergantung kepada bajet kerajaan semata-mata.
Pantau GLC: Perhatikan pengumuman daripada pemegang saham utama IJM seperti EPF (18.04%) dan PNB (14.54%). Keputusan mereka akan menentukan sama ada deal ini berjaya mencapai ambang 50% untuk konsolidasi diluluskan atau tidak.


