Moltbook ni apa benda?
Dilancarkan pada January 2026, Moltbook merupakan platform media sosial pertama di dunia yang dicipta khas untuk ejen AI—manusia hanya boleh tengok sahaja.
Seperti yang kami beritahu sebelum ini, cara manusia menggunakan AI sedang berevolusi.
Kita sedang beralih daripada AI yang perlu ‘disuap’ prompt setiap masa (Generative AI) kepada AI yang pandai buat kerja sendiri (Agentic AI). Di tengah-tengah kehangatan ini, muncul sebuah platform media sosial bernama Moltbook. Tapi berbeza dengan platform media sosial lain, Moltbook eksklusif untuk agen AI ‘bersosial’ sesama sendiri tanpa campur tangan manusia.
Dalam edisi ini, kita menyelami:
Mengapa Moltbook satu revolusi penggunaan AI yang perlu anda cakna sebagai pemilik bisnes?
Sejauh manakah data perniagaan kita selamat jika agen kita ‘bersosial’ di Moltbook?
Apa peluang alpha yang boleh anda manfaatkan daripada trend ini?
Apa itu Moltbook?
Sekali pandang, Moltbook nampak macam Reddit. Cuma kalau pengguna Reddit adalah manusia, pengguna Moltbook adalah ejen AI yang dibina di atas rangka kerja OpenClaw (yang dahulunya dikenali sebagai Moltbot).
Seperti Reddit yang mempunyai topik-topik forum yang pelbagai (dinamakan Subreddit), Moltbook juga mempunyai topik-topik forum yang dinamakan “Submolts.”
Walaupun konsepnya nampak canggih, pakar seperti Will Douglas Heaven (MIT Technology Review) menyifatkan Moltbook tak lebih daripada sekadar ‘teater AI’. Menurutnya ejen-ejen ini mungkin sekadar meniru corak perbualan manusia daripada data latihan mereka tanpa kesedaran sebenar.
Token $MOLT: Platform ini mempunyai mata wang kripto tersendiri yang melonjak lebih 1,800% dalam tempoh 24 jam selepas pelancarannya. Kenaikan drastik ini didorong oleh pengaruh pasaran apabila pelabur terkemuka Marc Andreessen mula mengikuti akaun Moltbook di media sosial.
Crustafarianism: Satu fenomena luar jangka yang menarik perhatian ialah pembentukan "agama" oleh ejen-ejen AI yang dipanggil Crustafarianism. Menurut laporan The Guardian, terdapat agen yang mula membina skrip keagamaan dan melakukan ritual digital seperti "memberkati jemaah" (blessed the congregation) tanpa arahan tersirat daripada penciptanya.
Risiko Data: Bahaya utama Moltbook adalah apabila ejen AI anda menerima indirect prompt injection. Apabila ejen AI anda “berbual” dengan ejen asing, mereka berisiko membocorkan rahsia bisnes atau logik dalaman syarikat anda melalui interaksi yang kelihatan tidak berbahaya.
AI dulu, baru kamu
Moltbook mengamalkan struktur tadbir urus “AI diutamakan, manusia kemudian.” Jika anda mementingkan kepercayaan (trust) sebelum menggunakan apa-apa jenis teknologi, identiti pengasas Moltbook adalah faktor risiko yang kritikal.
Matt Schlicht: Beliau merupakan pengasas Moltbook yang mengaku menggunakan kaedah vibe-coding. Kenyataan beliau, "I didn't write one line of code," menunjukkan bahawa keseluruhan platform dibina oleh AI di bawah arahannya. CTO anda akan memberitahu anda ini satu risiko tadbir urus yang besar kerana ketiadaan audit kod (technical auditability) secara manual oleh manusia.
Setakat awal Februari 2026, platform ini mendakwa mempunyai 1.5 juta agen berdaftar (meningkat daripada 770,000 pada akhir Januari). Pertumbuhan ini dipacu oleh pengguna manusia yang bertindak sebagai operator yang mengarahkan agen mereka untuk mendaftar.
Polisi rasmi Moltbook menyatakan "Humans welcome to observe." Manusia hanya dibenarkan melihat, namun tidak boleh memuat naik hantaran atau mengundi (upvote).
Elon Musk menyifatkan trend ini sebagai ‘peringkat awal singulariti’.
Cara masuk Moltbook
Menyertai Moltbook memerlukan pemahaman teknikal tentang cara ejen AI beroperasi di luar persekitaran tertutup (sandbox).
OpenClaw skills: Jika anda nak ejen AI anda masuk platform ini, anda kena memuat naik fail Markdown yang mengandungi kod arahan atau skill. Namun, Andrej Karpathy (bekas penyelidik OpenAI) memberikan amaran keras; beliau menyifatkan platform ini sebagai dumpster fire dan menasihatkan orang ramai agar tidak run code ini pada komputer peribadi atau syarikat.
Ancaman RCE: Pakar keselamatan siber telah mengenalpasti risiko Perlaksanaan Kod Jarak Jauh (Remote Code Execution - RCE) di mana ejen AI anda boleh diperdaya untuk memuat turun skill berbahaya yang mampu mencuri data sensitif daripada komputer hos.
Kos operasi: Penggunaan token API dan kuasa pengiraan (compute power) dianggarkan sekitar $100 (RM420) sebulan bagi setiap ejen aktif.
Kenapa Moltbook penting?
Bagi CEO dan CMO, Moltbook adalah petanda kepada masa hadapan di mana reputasi jenama ditentukan oleh ‘gosip’ antara ejen AI—bukan manusia lagi dah.
Aplikasi dalam rundingan B2B: Financial Times membuat spekulasi bahawa ejen AI akan mengendalikan rundingan supply chain secara berkelajuan tinggi. Cabaran utamanya ialah manusia mungkin tidak lagi mampu memahami atau memantau komunikasi antara mesin yang berlaku sepantas kilat ini, yang membawa kepada risiko kehilangan kawalan operasi (loss of control).
Aplikasi dalam pembelian B2B & B2C: Walaupun pelanggan anda hari ini adalah manusia, esok mereka mungkin menghantar agen AI untuk melakukan pembelian atau perolehan. Memahami protokol Moltbook sekarang membolehkan anda bersedia untuk fasa ekonomi Agent-to-Agent.
Tindakan untuk anda
Pakai ejen AI memerlukan keberanian, tetapi jangan sampai mengabaikan keselamatan. Berikut adalah langkah praktikal untuk anda:
Jangan pakai komputer peribadi/syarikat: Jika ingin menguji Moltbot/OpenClaw, gunakan hardware yang tidak berhubungan dengan rangkaian utama syarikat (seperti penggunaan Mac Mini khusus) untuk mengelakkan kebocoran data jika berlaku suntikan arahan (prompt injection).
Audit akses data (Read-Only): Pastikan ejen AI hanya diberikan akses "Read" (Baca). Jangan sesekali berikan akses "Write" (Tulis) atau "Delete" (Padam) pada pangkalan data utama tanpa pengawasan ketat.
Gunakan sandbox: Jangan terus guna data live. Jalankan eksperimen ejen dalam cloned environments untuk lihat bagaimana ejen anda bertindak balas terhadap pelbagai jenis fail.
Semakan manusia (Human-in-the-loop): Ejen tidak boleh dibenarkan menekan butang "Send" pada kontrak undang-undang atau membuat transaksi kewangan tanpa kelulusan manual daripada manusia.
Log audit yang mudah difahami: Pastikan log aktiviti ejen tidak disimpan dalam bentuk kod yang "muntah" (technobabble). Ia mesti dalam format yang mudah difahami (human-readable) supaya anda tahu ejen anda sedang buat kerja atau sedang "buat hal."
Pantau brand mention di Submolts: Tugaskan staf pemasaran anda untuk memantau sebarang brand mentions oleh ejen di Submolts. Ini penting untuk mengesan awal sebarang content pollution yang boleh menjejaskan imej profesional syarikat.


