Bagaimana Pingspace Buat RM10 Juta Setahun Jual Langganan Robot Warehouse
Untuk anda dalam bisnes logistik atau pembuatan, dan tertanya macam mana automasi boleh bantu jimat ruang dan tenaga kerja.
Chuah Di Ken tak pernah rancang nak bina robot. Dia cuma nak pesan barang hari ini, barang sampai esok.
Pada tahun 2018, masa dia tengah belajar sains makanan di UK, dia ketagih dengan kecekapan servis Amazon Prime. Tapi bila dia balik ke Malaysia, nak dapat parcel sampai on time pun susah.
Jadi dia cuba selesaikan masalah itu—bukan dengan buka syarikat kurier baharu. Tetapi dengan selesaikan punca masalah utama: gudang (warehouse).
Mula-mula idea Di Ken cuma nak buat pusat pemenuhan mikro (micro-fulfillment center). Lama-lama, bisnes Di Ken bertukar jadi sesuatu yang jauh lebih besar iaitu sistem gudang automatik berasaskan kiub, dikendalikan robot dan distruktur macam langganan SaaS1.
Hari ini, Pingspace dah menjana lebih RM10 juta setahun hasil sewa robot gudang serendah RM20,000 sebulan. Dan mereka dalam perjalanan untuk menembusi pasaran Singapura dan Taiwan pula seterusnya.
Jom tengok macam mana dia buat semua ini.
Masalah: Amazon Prime Tiada Di Malaysia
Pada tahun 2018, Chuah Di Ken cuma seorang pelajar sains pemakanan dari Malaysia di UK. Di sana, ada satu servis yang betul-betul dia kagum dengan kecekapannya: Amazon Prime.
“Masa tu, kalau beli barang guna Amazon Prime, confirm esok sampai.”
Sebab itulah bila Di Ken balik Malaysia, dia rasa macam balik ke zaman silam. Penghantaran lambat. Sebab apa? Gudang berterabur. Pesan hari ini, esok dapat barang? Lupakan.
Jadi Di Ken tanya diri sendiri: apa sebenarnya yang diperlukan supaya kecekapan penghantaran a la Amazon Prime boleh dibuat di Malaysia?
Mula-mula, dia fikir solusinya adalah cari lebih banyak gudang-gudang kecil di sekitar Lembah Klang atau Pulau Pinang. Dia panggil konsep tersebut sebagai micro-fulfillment centers. Atas kertas, nampak logik.
“Sebab kat Amazon, dia ada rangkaian gudang mini yang buatkan penghantaran esok boleh jadi kenyataan.”
Tapi lepas itu Di Ken sedar: masalah sebenar bukan jarak gudang dengan gudang lain. Tapi cara gudang itu sendiri beroperasi.
“Ada staf jalan-jalan cari kotak atas rak. Situ lah masa banyak habis.”
Pemerhatian Di Ken itu mengubah segalanya. Dia tak nak tambah lagi gudang. Dia nak ubah cara gudang beroperasi.
“Sebab kalau nak buat penghantaran hari sama, kelajuan gudang itu kena luar biasa.”
Dan dari situlah lahirnya idea menubuhkan Pingspace. Dengan Pingspace, kerja logistik menjadi pantas (tiada lagi staf tercari-cari barang), keperluan saiz gudang boleh dikecilkan (4x lebih jimat ruang) dan pintar (hasil automasi robot, rel, dan perisian pintar)
Visinya? Sistem simpanan yang lebih mirip Rubik’s Cube daripada rak tradisional. Yang mana staf tak perlu cari apa-apa. Sebaliknya, robot yang akan hantar terus ke tangan mereka.
“Kalau nak senang faham, bayangkan mesin layan diri gergasi. Dia keluarkan terus satu kotak kepada staf. Staf tu tak perlu pun jalan-jalan cari. Dia cuma berdiri, tunggu kotak sampai depan dia.”
Bagaimana Pingspace Menemui Jalannya
Di Ken bukan sekadar nak cipta gudang yang lebih pintar. Dia nak ubah cara bisnes melihat dan menggunakan automasi.
Dan untuk capai misi tu, dia perlu reka semula empat perkara utama: susun atur gudang, model harga, proses jual beli, dan lapisan perisian.
1. “Macam mesin layan diri gergasi.”
Itu cara Di Ken gambarkan Matrix System milik Pingspace—sistem simpanan berasaskan kiub yang susun bekas secara menegak (seperti kiub Rubik), bukan meluas seperti rak konvensional.
“Daripada guna rak, semua barang disimpan dalam bekas. Bekas ini ditindih secara menegak… kemudian robot akan bawa naik bekas satu per satu dan hantar kepada staf.”
Jadi staf tak perlu lagi jalan sana sini cari barang. Staf cuma berdiri, dan robot yang akan bawa barang ke tangan mereka.
Sistem Matrix System mampu menjimatkan ruang gudang sehingga 75%.
“Gudang paling besar kami sekarang cuma 4,000 kaki persegi… tapi dia boleh padatkan penggunaan ruang empat kali ganda berbanding cara biasa.”
Logiknya mudah: reka gudang ikut pergerakan robot, bukan manusia.
2. Mula kecil, skala macam Lego
Biasanya, pemilik bisnes akan beli/sewa gudang macam beli/sewa banglo sebelum tahu berapa orang nak duduk.
Pingspace ambil pendekatan sebaliknya.
“Biasanya kita suruh pelanggan mula dengan sistem kecil dulu… mungkin 500 bekas dan 2-3 robot untuk uji dulu sama ada sesuai.”
Sistem ini memang modular2 dari awal. Nak tambah bekas? Tambah saja. Perlu lebih robot? Plug in terus. Macam Lego.
Fleksibiliti ini membuatkan automasi logistik mampu dimiliki walaupun untuk operasi kecil—termasuk di ruang kedai macam Mr. DIY yang cuma ada siling setinggi tiga meter.
3. “Syarikat Malaysia tak mesra CapEx.”
Itu hakikat yang Di Ken belajar awal-awal. Dan hakikat ini mengubah strategi Pingspace sepenuhnya.
Daripada paksa klien melabur jutaan ringgit upfront, Pingspace memperkenalkan pakej langganan:
RM20,000/sebulan untuk sistem permulaan
Termasuk robot, software, rekaan sistem, dan penyelenggaraan
Tak perlu beli hardware pun
“Kita bagi servis langganan… macam sewa kereta. Guna je, selebihnya kami urus.”
Dan untuk buat model ini jalan, Pingspace tak tanggung sendiri—mereka bekerjasama dengan bank untuk biayai CapEx3 klien.
“Kami kerja dengan bank untuk biayai pelaburan ni bagi pihak pelanggan… kita lepaskan sistem, lepas tu kita kutip bayaran bulanan.”
4. Perisian sebagai enjin senyap
Robot memang mencuri tumpuan, tapi kuasa sebenar Pingspace adalah di belakang tabir iaitu sistem perisian dalaman Pingspace.
“Kami bukan hanya sediakan hardware, tapi juga software yang menguruskan seluruh operasi gudang.”
Antara fungsi utama:
Ketepatan inventori
Kurangkan kesilapan pengambilan
Gabungkan sistem stok online dan offline
Dalam era di mana bisnes e-dagang bercantum dengan kedai fizikal, ini satu masalah besar yang akhirnya ada penyelesaian.
“Bila bisnes masuk dari online ke offline… stok online kena track, stok offline pun kena track. Sistem kami bantu gabungkan dua-dua jadi satu operasi.”
Yang lebih best—perisian ini menghasilkan pendapatan berulang kepada Pingspace melalui lesen tahunan.
Tapi berbeza dengan syarikat SaaS biasa, Pingspace belum jual software ini secara berasingan. Buat masa sekarang mereka hanya fokus pada model integrasi penuh.
Kejayaan Pingspace
Bila Pingspace mula menjual HaaS mereka secara rasmi pada 2024, ia bukanlah satu kejayaan sekelip mata. Sebaliknya, ia hasil dari kerja keras empat tahun, bootstrapped4 R&D, berlapis-lapis masalah kejuruteraan, dan sepuluh iterasi prototaip robot.
“Versi pertama tu nampak macam Iron Man pertama,” Di Ken gelak. “Sangat kasar. Nak jalan pun susah.”
Awal-awal dulu, team Pingspace sangat kecil iaitu kurang 10 orang. Mereka banyak baca kertas kajian akademik, test hardware satu-satu, menggunakan tangan sendiri.
Dan ketika ramai founders mengidam nak dapat dana VC5 awal-awal, Di Ken pilih laluan yang berbeza.
“Kami tak nak scale-up6 laju-laju. Sales cycle kami panjang, jadi tak logik pun nak rush.”
Tapi pada tahun 2022, Pentamaster masuk dengan pelaburan RM5 juta untuk 6.8% pegangan.
Dan ini twist dia:
Pentamaster bukan pelabur random.
Ia adalah syarikat tersenarai awam dalam industri E&E—dan tempat ayah Di Ken pernah jadi pengerusi eksekutif.
Jadi adakah Di Ken dapat jalan pintas?
Langsung tak.
“Dia (ayah) sangat tegas dengan saya,” Di Ken mengaku. “Tapi dia bagi kebebasan untuk saya cari jalan sendiri. Saya buat banyak silap masa mula… dan dia biar saya belajar.”
Pingspace tak pernah diserap masuk ke dalam Pentamaster. Ia memang dibina sebagai startup yang berdiri sendiri—dengan team sendiri, cara kerja sendiri, dan risiko sendiri.
Walau begitu, hubungan dengan Pentamaster tetap memainkan peranan penting—
bukan sekadar pelabur, tapi juga rakan pengeluar komponen hardware.
“Kami reka semua komponen in-house. Untuk sebahagian bahagian, kami outsource ke Pentamaster. Tapi kami ada beberapa supplier.”
Sejak titik perubahan itu, angka makin meningkat:
RM10 juta pendapatan dijangka pada hujung 2024.
RM30–40 juta pendapatan dalam sasaran 2025, dengan backlog yang kukuh.
Sudah digunakan dalam pelbagai sektor: e-dagang, logistik, semikonduktor, automotif, farmasi, dan juga bilik kebal bank.
“Kebanyakan klien kami sebenarnya bukan dari e-commerce pun,” kata Di Ken. “Automotif, spare parts, semikonduktor… malah bank pun. Boleh simpan emas dalam sistem ini. Tak ada siapa boleh akses.”
Dan untuk jalankan semua ni, tak perlu pun ruang gudang besar.
“Gudang paling besar kami sekarang cuma 4,000 kaki persegi. Sistem ni boleh padatkan ruang sehingga empat kali.”
Sebab itu destinasi seterusnya: Singapura—di mana setiap kaki persegi sangat bernilai. Taiwan dan AS pula dah dalam pipeline.
Apa Yang Hampir Membunuh Pingspace
Walaupun Pingspace hari ini nampak gah di atas kertas, perjalanan Di Ken sebenarnya penuh dengan ujian.
Ada empat cabaran utama yang dia kena hadap:
1. Cashflow
Mereka bina hardware yang mahal siap-siap… tapi bayaran masuk bulanan.
“Cashflow sangat penting,” kata Di Ken. “Kami kena berbelanja dengan sangat berhemah. Hubungan dengan bank pun sangat penting dalam bisnes kami.”
Untuk survive, Pingspace kena bekerja rapat dengan bank untuk setiap projek. Kenapa? Sebab pada peringkat permulaannya, Pingspace kena membiayai equipment klien sebelum boleh kutip balik bayaran daripada klien secara ansuran.
Maknanya setiap perjanjian mesti solid. Tak boleh silap kira. Tak boleh cancel tengah jalan.
2. Sales cycle yang panjang
Jual sistem robotik bukan macam jual software. Ia perlahan, perlu bina kepercayaan, dan penuh dengan dilema keputusan.
Nak tutup satu deal boleh ambil masa berbulan-bulan. Kadang-kadang, sampai bertahun. Ini menyebabkan bisnes mereka sukar untuk scale-up.
3. Untung lambat
Ada satu dua pelanggan? Itu tak cukup langsung untuk menampung kos Pingspace.
“Kalau lima atau enam pelanggan, mungkin baru capai breakeven7,” kata Di Ken. “Tapi nak untung, kena capai skala.”
Sebab apa?
Sebab robot perlukan servis daripada tech team. Team tech pula perlukan gaji. Dan selagi tak cukup deployment, kos itu hanya cover operasi, dan tak membawa untung.
4. Persepsi automasi hanya untuk syarikat gergasi
Walaupun Pingspace bawa model modular + langganan yang mesra CapEx, rasa skeptikal tetap wujud.
“Dulu orang percaya automasi ini hanya untuk syarikat besar. Kena belanja berjuta. Tapi dengan sistem kami, (anda) boleh mula kecil. Bajet ratus ribu ringgit pun boleh dah.”
Selain itu, walaupun dari segi data Pingspace terbukti membuatkan kerja menjadi cepat, kurang ralat, dan menjimatkan ruang 4X, pembeli Malaysia tetap nak tengok depan mata dulu, baru percaya.
Belajar dari Pingspace
1. HaaS kunci survival
Syarikat Malaysia memang fobia dengan komitmen CapEx yang besar. Jadi Di Ken ubah terus model: tiada kos awal, hanya bayar bulanan macam sewa kereta.
“Ia servis langganan… sangat fleksibel. Tak ada aliran tunai besar keluar. Komitmen pun rendah.”
Model HaaS ini membuka pintu kepada klien yang perlukan logistik, tapi langsung tak fikir nak automasi.
2. Jangan pandang rendah pendapatan dari perisian
Ramai ingat bisnes sebenar Pingspace ialah robot. Tapi realitinya adalah lesen software tahunan menyumbang pendapatan paling besar.
Perisian ni adalah otak sistem—menguruskan inventori, pesanan, dan gabungkan operasi online-offline jadi satu aliran lancar.
3. Tak perlu laju untuk menang
Pingspace ambil empat tahun sebelum mula menjual. Tapi fasa perlahan tu bina kredibiliti, kematangan produk, dan kepercayaan pelabur.
Dalam dunia deep tech, sikap tergesa-gesa boleh bunuh bisnes anda. Kena pastikan dulu fit produk-pasaran.
4. OpEx ✅ CapEx ❌
Syarikat Malaysia—terutamanya PKS—alergik dengan kos permulaan yang tinggi.
Sebaliknya tukar kepada model yang hanya menuntut komitmen OpEx8 mereka sahaja. Kurangkan risiko pelanggan → tingkatkan jualan anda.
5. Case study lebih berkesan daripada iklan
Pengurus gudang tak kisahkan hype iklan. Mereka nak bukti: nombor dan video.
“Contohnya, kalau buat gudang secara konvensional, kos operasi boleh cecah RM20,000 sebulan. Tapi kalau langgan sistem kami, mungkin kos operasi turun jadi RM5,000, dan anda bayar kami RM15,000 sebulan.
“Jadi tanpa automasi: RM20,000. Dengan automasi: masih RM20,000, tapi anda dapat semua kelebihan automasi iaitu ketepatan inventori, kurang kesilapan pengambilan barang, dan pelbagai penjimatan lain.
Jadi bila kos total sama tapi dapat banyak kelebihan tambahan, memang masuk akal untuk pelanggan.”
Itu yang buat orang langgan Pingspace.
6. Bootstrapping boleh kalau tak obses nak jadi unicorn
Pingspace survive bertahun-tahun tanpa pelabur luar. Mereka berjaya sebab belanja dengan cermat, iterate dengan bijak, dan hanya raise bila betul-betul strategik.
“Kami selesa dengan apa yang kami ada sekarang… tapi terbuka kalau nak fundraising untuk strategi yang tepat.”
Disiplin ini yang buat mereka bertahan cukup lama tanpa sebarang jualan untuk empat tahun pertama sebelum akhirnya ‘dapat jadi betul’.
Tiru Pingspace jika…
1. Anda jual hardware, tapi mahukan pertumbuhan seperti SaaS
Kalau anda berada dalam industri berasaskan CapEx, pelanggan anda mungkin tak sanggup bayar sekaligus dalam jumlah besar.
Jangan tawarkan invois RM500,000. Tawarkan langganan bulanan.
Macam mana Di Ken buat? Robotik industri → pelan RM20,000/sebulan termasuk pemasangan, perisian & servis → bayaran lesen perisian tahunan.
2. Anda menyasarkan sektor yang kekurangan ruang
Teknologi Pingspace membolehkan kliennya menjimatkan ruang 4x. Daripada menyewa gudang berkeluasan 16,000 kaki persegi, anda kini hanya boleh menyewa gudang 4,000 kaki persegi sahaja.
Ini sesuai untuk industri seperti:
E-commerce fulfillment
Spare parts automotif
Semikonduktor
Perbankan (bilik kebal)
Jika pelanggan anda terbeban dengan kos sewa tinggi, atau berkembang dengan pantas, kecekapan ruang = keperluan dalam bisnes.
Kesimpulan
Jika anda buntu nak jual teknologi bernilai tinggi dalam pasaran yang takut nak belanja besar, ambil inspirasi dari Pingspace.
Jangan lawan ketakutan CapEx, sebaliknya bina model yang hapuskan halangan itu.
Jangan kejar 100 klien, buktikan dengan lima klien yang betul-betul gembira.
Pelbagaikan sumber pendapatan syarikat. Selain hardware, jual juga software.
Itulah cara membina syarikat automasi logistik bernilai jutaan ringgit di Malaysia.
Sumber: How This 'Vending Machine' Speeds Up & Shrinks Your Warehouse (BFM)
SaaS bermaksud Software as a Service—satu model bisnes di mana syarikat tak jual perisian, tapi kenakan caj langganan bulanan atau tahunan untuk guna perisian tersebut. Bayangkan macam Netflix, tapi untuk perisian. Dalam kes Pingspace, mereka adaptasi model ini untuk hardware (menjadi Hardware as a Service atau HaaS)—mengubah kos robot yang mahal menjadi kos bulanan yang lebih mampu milik.
Sistem Modular: Sistem yang direka dengan komponen boleh tukar ganti, supaya anda boleh mula kecil dan tambah bahagian bila perlu. Bayangkan macam Lego untuk gudang—anda tambah hanya bila perlu, setakat mana yang diperlukan.
CapEx (Perbelanjaan Modal): Pembelian besar sekali gus seperti mesin, peralatan, atau hartanah. CapEx yang tinggi bermaksud anda perlu keluarkan banyak wang pada awal sebelum nampak sebarang pulangan.
Bootstrapped: Membina bisnes guna simpanan sendiri atau hasil jualan tanpa kutipan dana dari pelabur luar. Gaya ini perlahan, mencabar, dan paksa anda jadi sangat disiplin dari segi kewangan.
Venture Capitalist (VC): Pelabur (atau firma) yang beri modal kepada startup sebagai pertukaran untuk pegangan ekuiti. VC biasanya cari syarikat yang berkembang cepat dan ada potensi pulangan besar.
Scale-Up: Syarikat yang sudah lepas fasa “startup” dan kini fokus kepada pertumbuhan pesat—dengan memperluas operasi, menambah pekerja, dan masuk pasaran baru.
Breakeven: Titik di mana bisnes anda mula hasilkan cukup duit untuk tampung semua kos. Belum untung, tapi dah tak rugi.
OpEx (Perbelanjaan Operasi): Kos berulang untuk memastikan bisnes terus berjalan—seperti gaji pekerja, sewa, atau langganan. Lawan kepada CapEx, dan biasanya lebih mudah untuk syarikat hadam dari bulan ke bulan.